PADA dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.
"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.
Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita.
Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.
Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat.
Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka.
Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?
Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.
Soalan
Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?
Jawapan
Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian.
Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain.
Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita.
Soalan
Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita?
Jawapan
Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita.
Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita.
Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus.
Soalan
Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi?
Jawapan
Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil.
Soalan
Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita?
Jawapan
Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular.
Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung.
Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung.
Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka.
Soalan
Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita?
Jawapan
Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung.
Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan.
Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan.
Soalan
Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung?
Jawapan
Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung.
Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah.
Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita).
Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda.
No comments:
Post a Comment